Perkembangan dan Kepentingan Kutub Khanah Orang Ramai Malaya Dalam Strategi Perjuangan Malayan Chinese Association (MCA)
DOI:
https://doi.org/10.22452/Abstract
Artikel ini meneliti latar belakang penubuhan Kutub Khanah Orang Ramai di Persekutuan Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1950-an serta menganalisis kepentingannya dalam strategi perjuangan politik Malayan Chinese Association (MCA). Penubuhan Kutub Khanah ini berkait rapat dengan keadaan sosio-politik semasa Darurat serta pembentukan kampung baru Cina hasil dasar penempatan semula oleh kerajaan British. Melalui penubuhan institusi ini, MCA berusaha menyediakan bahan bacaan, menggalakkan pendidikan masyarakat melalui kelas pendidikan dewasa serta menganjurkan pelbagai aktiviti sosial dan kebudayaan dalam kalangan penduduk kampung baru. Selain berfungsi sebagai pusat pendidikan dan kebudayaan, Kutub Khanah turut memainkan peranan sebagai instrumen sosial dan ideologi dalam usaha membendung pengaruh fahaman komunis dalam kalangan masyarakat Cina. Dalam konteks ini, penubuhan Kutub Khanah boleh ditafsirkan sebagai sebahagian daripada strategi MCA untuk memperbaiki imej politik masyarakat Cina yang sering dikaitkan dengan gerakan komunis serta pada masa yang sama menunjukkan komitmen masyarakat tersebut terhadap proses pembinaan negara. Kajian ini juga menunjukkan bahawa perkembangan Kutub Khanah bukan sahaja memberi peluang pendidikan kepada masyarakat Cina yang terjejas akibat gangguan sistem pendidikan semasa Perang Dunia Kedua, malah turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara kaum melalui usaha penubuhan Kutub Khanah Melayu. Oleh itu, gerakan Kutub Khanah dapat dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam usaha memperkukuhkan integrasi sosial, meningkatkan tahap pendidikan masyarakat serta memupuk semangat patriotisme dalam masyarakat Tanah Melayu pada era tersebut.










